Diisytihar muflis, ini senarai harta benda tak akan dirampas
Diisytihar muflis, ini senarai harta benda tak akan dirampas
Barangan keperluan asas dan peralatan pekerjaan milik individu yang berdepan tindakan bankrap akan diberi pengecualian daripada pembahagian di antara pemiutang dalam usaha kerajaan menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pengecualian itu antara enam perubahan dasar yang dimasukkan dalam pindaan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, selewat-lewatnya awal bulan depan.
Ini bermakna, jika pindaan itu diluluskan, barangan asas dan keperluan pekerjaan tidak akan dirampas oleh pemiutang melalui Jabatan Insolvensi seperti yang dilaksanakan ketika ini.
Barangan keperluan asas itu merujuk peralatan penting dalam urusan kehidupan harian keluarga individu muflis seperti peti ais, peralatan memasak dan sebagainya, tetapi tidak kepada barangan mewah.
Kelengkapan mencari rezeki harian seperti motosikal yang penting kepada pergerakan penjual aiskrim dan peti sejuk beku untuk menjaja, dianggap peralatan pekerjaan yang diberi pengecualian sama.
Azalina berkata, menerusi pindaan itu, enam perubahan dasar diberi perhatian oleh kerajaan, antaranya memberi penekanan terhadap aspek kebajikan individu bankrap ketika dalam pentadbiran Ketua Pengarah Insolvensi, susulan peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, antara cadangan pindaan yang penting ialah penambahbaikan untuk memudahkan individu dilepas daripada kebankrapan termasuk membabitkan peruntukan pelepasan secara automatik kerana tiada yang berjaya dilepaskan secara automatik dibuat setakat ini.
“Buat masa ini, Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 yang berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017 melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 membolehkan bankrap dilepaskan daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun bankrap memfailkan pernyataan hal ehwal.
Ketika pembentangan Belanjawan 2023 ada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Akta Insolvensi akan dipinda supaya kes muflis dilepaskan secara automatik pada masa singkat.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan pindaan Akta 360 yang akan dilakukan sekali lagi, bakal membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1075732/diisytihar-muflis-ini-senarai-harta-benda-tak-akan-dirampas